Minda Lestari: Citra Islam warnai persekitaran akademik
Bersama Prof Dr Zaini Ujang
PELANCARAN
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) minggu lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandakan bahawa sektor pengajian tinggi tempatan akan mengalami transformasi untuk meningkatkan kualiti akademia bercitra dan bertaraf dunia.
Untuk mencapai matlamat itu,
tujuh teras dikenal pasti iaitu:
- meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti,
- menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran,
- memperteguh penyelidikan dan inovasi,
- memperkasakan institusi pengajian tinggi,
- mempergiatkan pengantarabangsaan,
- membudayakan pembelajaran sepanjang hayat,
- mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT).
Semua teras itu telah
diperhalusi dengan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sumber kewangan dan modal insan, serta kaedah merealisasikannya. Pada hemat saya,
PSPTN yang diilhamkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, adalah dokumen paling komprehensif dan realistik setakat ini untuk memartabatkan sektor pengajian tinggi tempatan sebagai
penjana modal insan minda kelas pertama dan
menjadikan Malaysia hab kecemerlangan akademik.
Selain perlunya dasar, strategi dan KPI
bersifat futuristik sekali gus realitistik, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan juga perlu mengenal pasti citra dan keunikan tersendiri bagi membezakannya dengan IPT di negara lain. Persoalannya kini, apa keistimewaan IPT di Malaysia jika bidang pengajian, kualiti dan prestij yang sama boleh diperoleh di negara lain?
Sehubungan itu, pada hemat saya, ada dua kelainan yang boleh menonjolkan IPT tempatan berbanding negara jiran atau negara maju dari segi pengkhususan terutama
menerusi program pengajian siswazah, penyelidikan dan inovasi, iaitu citra Islam membangun yang progresif dan persekitaran akademik mementingkan komponen mesra alam. Citra negara Islam progresif memang selama ini dikaitkan dengan Malaysia, selain Turki.
Citra itu secaratidak langsung meletakkan Malaysia sebagai model di kalangan negara Islam dan masyarakat membangun. Setakat ini banyak pihak khususnya di kalangan akademik sendiri kurang menyedari kepentingan citra ‘negara membangun’ dan
model ala-Malaysia dalam penjenamaan pengajian tinggi.
Hakikatnya negara membangun mewakili lebih 90 peratus masyarakat dunia. Inilah pasaran terbesar pengajian tinggi antarabangsa dari segi bilangan pelajar antarabangsa dan minat terhadap bidang berkaitan pembangunan, sains dan teknologi.
Dalam bidang perbankan dan pengurusan Islam misalnya, sumbangan Malaysia dari segi akademik, amalan profesional dan model sebenar memang mengagumkan dan bertaraf dunia. Selain itu, ada bidang baru berkembang pesat yang boleh dijadikan fokus, seperti disiplin ilmu kejuruteraan alam sekitar dan pengurusan air lestari.
Dalam hal ini sumbangan Malaysia semakin dirasakan. Sebagai contoh, sejak 2006, saya dilantik pengerusi kumpulan pakar Persatuan Air Antarabangsa dalam bidang teknologi dan pengurusan negara membangun yang dianggotai lebih 10,000 anggota. Selain itu, buku saya bersama Prof Mogens Henze, Municipal Wastewater Management for Developing Countries (IWA Publishing, London, (2006) mendapat sambutan di luar jangkaan menandakan sumbangan kepakaran dan aplikasi model pengurusan dan teknologi yang digunakan di Malaysia wajar diberi perhatian.
Di samping citra negara membangun, pengajian tinggi di Malaysia juga boleh menggunakan kesempatan persekitaran dan keunikan akademik yang dilatari pelbagai bidang berkaitan pelestarian alam sekitar, khususnya dalam konteks iklim tropika. Hutan hujan tropika, tenaga solar, tenaga berasaskan biojisim, kepelbagaian biologi, sistem akuatik tropika, penyakit tropika, kelapa sawit, getah dan ekosistem bandar beriklim panas adalah antara contoh bidang khusus yang seharusnya menjadi
niche di kalangan ahli akademik tempatan.
Selain itu, banyak bidang lain boleh
dimajukan selari dengan idealisme mesra alam yang menjadi trend dan keasyikan intelektual masa kini. Ini termasuk sains fundamental, teknologi industri, pengurusan bandar, pembangunan praurban, teknologi pembuatan, pengurusan air dan sisa. Ketika ini bidang itu masih ditunjangi ilmu, kepakaran dan teknologi yang berpaksikan beberapa buah negara maju. Sebagai contoh bidang kesihatan dan perubatan tropika masih berpaksikan London School of Hygiene and Tropical Medicine. Begitu juga bidang kejuruteraan alam sekitar negara membangun masih kukuh diterajui Universiti Newcastle, England dan UNESCO-IHE Water Institute di Delft, Belanda.
Peranan yang boleh dimainkan IPT tempatan ialah menyediakan kepakaran, sumber manusia dan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan lebih banyak inisiatif dan fokus kepada bidang itu. Hal ini boleh dimantapkan dengan pelantikan profesor ternama sebagai staf IPT tempatan.
Ketika ini, kecuali Singapura, Malaysia adalah satu-satunya negara tropika yang aktif menjalankan pelbagai program penyelidikan berkaitan dengan hal ehwal negara membangun dalam konteks pelestarian alam sekitar. Namun, pada hemat saya, masih banyak perlu
diperkemaskan khususnya dari segi modus operandi, fokus, kepakaran khusus dan penggemblengan sumber.
Dalam hal ini, PSPTN menyediakan kerangka terbaik untuk membolehkan IPT tempatan melonjak dan bersaing dengan negara maju. Dengan niche yang ditunjangi persekitaran setempat dan kepakaran sedia ada yang dipertingkatkan, idealisme mesra alam yang semakin mengakar, maka laluan mencapai citra dan taraf dunia dalam pengajian tinggi dapat direalisasikan dengan lebih mudah dan mantap.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inivasi) Universiti Teknologi Malaysia Diubahsuai dan dipetik daripada
emedia-berita harian onlinep/s: highlight frasa indah here if u r free n nth to do. i simply highlight some only.